MELAKA – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500, dua tahun lalu.
Tertuduh, Lee Kau Lik, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah urusan sebuah syarikat telah secara rasuah memberikan satu suapan wang tunai berjumlah RM2,000 secara pindahan dalam talian kepada seorang lelaki sebagai upah membantu syarikatnya mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500.
Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Tengkera (Jalan Ong Kim Wee) dalam daerah Melaka Tengah pada 5 November 2023. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Kes disebut semula pada 27 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE