SEREMBAN – Seorang pemandu kereta jenis Proton Iswara mencetuskan panik dalam kalangan pengguna jalan raya selepas memandu secara melawan arus di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini.
Kejadian itu dirakam orang awam sebelum tular di media sosial. Rakaman berdurasi 20 saat itu menunjukkan kereta tersebut bergerak melawan arus ketika memasuki simpang menyebabkan pemandu lain terpaksa memperlahankan kenderaan untuk mengelak pelanggaran.
Video yang tersebar sejak semalam itu meraih 50,000 tontonan dan dikecam netizen yang menyifatkan tindakan pemandu kereta tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan membunuh nyawa tanpa senjata.
“Silap masuk lorong ni, bahaya pak cik,” kata Anis Ahmad.
“Pihak berkuasa jika dah dapat laporan daripada pihak awam boleh bertindak segera untuk mencegah,” ujar Mahad Kelana.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pemandu itu tersilap jalan atau sengaja mengambil jalan pintas. Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan.- KOSMO! ONLINE