JERANTUT – Pembinaan Jaya Depan Sdn. Bhd. (Jaya Depan) bukan seperti pemaju yang lain sekadar membina bangunan untuk dijual semata-mata tetapi sebaliknya syarikat sentiasa berinisiatif melangkah ke hadapan untuk memastikan pembangunan ekosistem perniagaannya pesat membangun.
Sejak beroperasi pada 2010, Jaya Depan telah berjaya membina lebih 1,000 buah rumah dan premis termasuk pusat komersial pertama di Lipis yang sekali gus menjadi pencetus kepada pembangunan bangunan komersial yang lengkap.
Pengarah dan Pengasas Jaya Depan, Jason Tee berkata, dengan pengalaman sebagai kontraktor binaan yang sentiasa mementingkan kualiti, pihaknya merintis pembinaan pusat komersial pertama di Lipis iaitu Pusat Perniagaan Barry yang siap pada 2023.
Menurut beliau, bermula di situ, Jaya Depan terus aktif menyusun strategi terlibat dalam pelbagai projek hartanah seperti pembinaan pusat komersial Jerantut Square yang akan menjadi hab bagi perniagaan, gaya hidup dan pusat komuniti.
Jelasnya, apa yang lebih penting adalah pusat komersial yang dibina Jaya Depan bukan semata-mata untuk dijual tetapi dengan pakej satu ekosistem bisnes yang dapat memastikan pembangunan dan tarikan di kawasan berkenaan.
“Fokus kami kini lebih kepada pengisian ruang, apa, siapa yang patut ada di sini, siapa yang berniaga dan berbelanja. Itu adalah perkara yang kami fikirkan dan daripada situ kami boleh membuat sasaran tempahan.
“Misi sebenar kami adalah untuk memberi kebahagian, kita bukan semata-mata hendak buat kedai tetapi buat (kedai) untuk siapa dan mereka mahu jalankan perniagaan, itulah yang kita jadikan ia sebagai satu ekosistem,” katanya ketika ditemui di pejabatnya sini baru-baru ini.
Menurut Tee, dalam membangunkan pusat komersial, pihaknya akan menjual atau menyewakan premis terbabit kepada pihak yang berminat, dengan sewaan termasuk kepada syarikat perniagaan terkenal seperti Familymart, Watsons dan pelbagai lagi.
Jelasnya selepas mendapat penyewa pihaknya juga sedia menjual premis berkenaan kepada pelabur berminat yang kemudiannya akan terus mengutip sewa dalam usaha berkongsi perniagaan.
Katanya, dengan rakan niaga strategik yang terdiri daripada syarikat-syarikat terkenal, pusat komersial yang dibangunkannya mampu menarik minat orang ramai untuk datang sekali gus memastikan kemeriahan dan kemajuan pusat komersial terbabit.
“Dengan cara ini juga katanya, ia akan memastikan pembeli atau penyewa lain seperti pengusaha restoran dan kedai termasuk dalam kalangan penduduk tempatan turut mendapat manfaat dengan kehadiran ramai orang.
“Ini baru betul-betul sebagai pemaju, kami main peranan untuk mengisi ruang bukan jual sahaja, usaha kami ini bukan terhenti selepas menjual sahaja, kita perlu fikir pemaju-pemaju baharu ini kena fikir apa komponen di situ yang perlu diisi.
“Sebab itu kerajaan sentiasa menyarankan agar pihak swasta dapat bekerjasama dengan kerajaan, kita tidak boleh cuma mencari untung semata-mata, mana boleh kita jual sahaja projek perumahan tetapi selepas itu kita biarkan ia kosong,” katanya.
Dalam pada itu, Tee menerangkan, dengan sambutan dan sokongan daripada kerajaan negeri sehingga kini, pihaknya telah merancang untuk terus membina lebih banyak pusat komersial di seluruh daerah di negeri ini dari semasa ke semasa.
“Dengan cara ini kita cipta perubahan bukan sekadar bangunkan tetapi kami harap pusat komersial seperti Jerantut Square ini akan dibawa ke banyak tempat lagi di negeri ini khususnya.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang terus memberikan sokongan kepada Jaya Depan,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai pusat komersial terbaharu Jerantut Square di Jerantut yang dijadual dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, beliau berkata, ia akan menjadi satu destinasi baharu hab perniagaan dan gaya hidup di daerah Taman Negara itu.
Katanya, pusat komersial di tanah seluas kira-kira 8.9 hektar itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM130 juta.
Projek yang dijangka siap akhir tahun depan itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pasar raya besar, pusat sukan, central walk dan pelbagai lagi dengan lebih 1,000 tempat kereta, tempat letak bas serta stesen pengecas kenderaan elektrik (EV). -KOSMO! ONLINE