PELAKON sitkom popular 80-an The Cosby Show, Malcolm-Jamal Warner meninggal dunia akibat lemas ketika bercuti bersama keluarganya di Costa Rica, semalam.
Penggalas watak Theo Huxtable itu dipercayai ditarik arus deras ke tengah laut ketika mandi di pantai Playa Cocle di wilayah Limon pada Ahad sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan
Agensi Siasatan Kehakiman Costa Rica memaklumkan petugas Palang Merah mengesahkan Warner, 54, mengghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.
Pemergian mendiang mengejutkan peminat dan penggiat industri hiburan Hollywood memandangkan dirinya masih aktif menjayakan pelbagai program televisyen.
Warner meraih populariti sebaik membintangi The Cosby Show dari 1984 hingga 1992 iaitu sebagai anak kepada watak yang digalas aktor tersohor, Bill Cosby.
Penglibatannya dalam siri ikonik berkenaan juga dikatakan adalah atas pilihan Cosby sendiri yang dilakukan pada hari terakhir sesi uji bakat secara besar-besaran.
Mutu lakonan cemerlang melayakkan beliau menerima pencalonan bagi Anugerah Emmy untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Siri Komedi pada 1986.
Selepas kejayaan The Cosby Show, Warner semakin menyerlah menerusi siri lain termasuk Malcolm & Eddie bersama pelawak Eddie Griffin, serta muncul sebagai pelakon undangan dalam siri popular The Fresh Prince of Bel-Air dan Sesame Street.
Antara program televisyen lain membabitkannya adalah Reed Between the Lines, 9-1-1, The Resident serta terbaharu, Alert: Missing Persons Unit, menerusi watak Ketua Inspektor Bill Houston.
Selain televisyen, anak jati New Jersey, Amerika Syarikat itu aktif di arena teater selain menghasilkan program audio siar Not All Hood dengan memberi fokus kepada isu komuniti kulit hitam.
Warner juga aktif dalam bidang muzik sebagai komposer dan nyanyian sehingga meraih Anugerah Grammy pada 2015 bagi kategori Persembahan R&B Tradisional Terbaik menerusi lagu Jesus Children of America bersama Robert Glasper dan Lalah Hathaway.
Pada 2023, album puisinya di bawah judul Hiding In Plain View menerima pencalonan pada anugerah sama.
Warner meninggalkan seorang anak perempuan serta legasi seni bahkan sumbangan terhadap meningkatkan taraf hidup komunitinya sentiasa diingati ramai. – KOSMO! ONLINE