SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas lima pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga tahun lalu.
Tertuduh, Nas Suffian Nasrun, 41, yang juga Ketua Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melibatkan diri dalam transaksi wang RM224,840 yang merupakan hasil aktiviti haram dari sebuah akaun milik seorang lelaki kepada akaun bank milik ibunya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang RM297,600 dari akaun bank milik individu sama ke dalam akaun miliknya.
Pertuduhan ketiga hingga kelima pula melibatkan pemindahan wang berjumlah RM113,375; RM209,080 dan RM88,400 termasuk melibatkan akaun milik ibu dan syarikat kendaliannya.
Semua perbuatan melibatkan 17 hingga 55 transaksi secara dalam talian itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Kajang dan Kota Damansara antara 29 Julai 2022 hingga 23 September 2024.
Justeru, Nas Suffian didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) a Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Amirah Muhammad Ali mencadangkan jaminan RM800,00 dengan tertuduh perlu dikenakan syarat tambahan.
Namun, Peguam Muhammad Zaim Rosli merayu pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan lima anak yang masih bersekolah.
“Selain itu, dia yang telah berkhidmat selama 19 tahun memiliki rekod baik dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM100,000 dengan tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September depan. – KOSMO! ONLINE