JAKARTA – Seorang warga emas di Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Tengah nyaris menemui ajal apabila dia diterkam buaya ketika mengambil wuduk di sungai, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) semalam ketika mangsa, Nursehan, 62, mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh.
Secara tiba-tiba, seekor buaya muncul dari dalam air lalu menerkam lengan mangsa.
Ketua Daerah Mentaya Hilir Utara, Muslih berkata, Nursehan nyaris dihanyutkan ke dalam sungai.
“Mangsa baru selesai mandi dan mahu berwuduk. Ketika itu, seekor buaya tiba-tiba menyerang dan mengheretnya ke dalam sungai,” katanya.
Tambah Muslih, nasib menyebelahi warga emas itu apabila penduduk tempatan mendengar jeritannya meminta tolong dan segera membantunya.
Mangsa yang diseret 6 meter dari tebing sungai oleh buaya itu berjaya diselamatkan.
Dia dikejarkan ke klinik kesihatan setempat dan kini dirawat kerana cedera parah pada lengannya. – AGENSI