SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian hampir RM1.5 juta selepas terjerat skim pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia 50-an itu membuat laporan mengenainya di Balai Polis Pantai di sini pada pukul 4.22 petang.
“Difahamkan, mangsa mula berurusan dengan suspek pada 29 April lalu selepas tertarik dengan tawaran keuntungan pelaburan yang tinggi.
“Mangsa memuat turun satu aplikasi dan memindahkan wang berjumlah RM1,449,750. 00 ke dalam tujuh akaun bank melalui 15 transaksi bagi tujuan pelaburan.
“Mangsa mula curiga selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan ‘keuntungan’ yang dijanjikan sebelum menyedari dirinya ditipu,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Malik berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE