fbpx
Perunding Hartanah, Syafiqah Jalal menasihatkan anak muda mendapatkan khidmat nasihat daripada ejen atau penasihat hartanah bertauliah untuk mengira kelayakan pinjaman berdasarkan pendapatan dan komitmen semasa.

Mahu rumah ‘Instagrammable’, jangan sampai terjerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UKUR baju di badan sendiri. Peribahasa itu tepat buat golongan muda yang mahu membeli rumah dengan mengambil kira pendapatan dan kemampuan sebenar.

Ramai anak muda kini mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah seperti rumah yang lengkap dekorasi ‘Instagrammable’, terletak di lokasi strategik dan bertanah seperti yang ditayangkan dalam media sosial.

Namun, hakikatnya ramai yang terpaksa akur apabila permohonan pinjaman perumahan mereka ditolak atau terjerat dengan komitmen bulanan membebankan kerana tersalah langkah.

Realitinya, rumah pertama bukan sekadar jenis dan bentuk, sebaliknya lebih kepada keperluan, kemampuan dan langkah permulaan membina kehidupan.

Perunding Hartanah, Syafiqah Jalal menasihatkan orang muda supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada ejen bertauliah bagi mengetahui had kelayakan pinjaman masing-masing.

Katanya, ramai pembeli muda berada dalam dilema kerana terlalu cerewet memilih kediaman pertama seolah-olah akan mendiaminya seumur hidup hari tua.

“Rumah pertama bukan rumah impian, tapi ikut kemampuan. Jadi sebelum membeli kediaman, ukur baju pada badan sendiri.

“Nasihat saya, pertama sekali anak muda perlu mendapatkan khidmat ejen untuk membuat pengiraan kelayakan pinjaman berdasarkan pendapatan dan komitmen bulanan mereka. Dari situ, mereka boleh mencari kediaman yang sesuai.

“Rumah pertama bukan rumah hari tua. Selalunya apabila hendak membeli rumah mereka berfikir terlalu lama kerana berpendapat itulah rumah hari tua.

“Jangan terlalu memilih rumah bertanah sahaja. Biasanya rumah bertanah ini nilainya lebih tinggi dan sukar untuk dimiliki terutama di kawasan bandar membangun seperti di Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Syafiqah turut mencadangkan golongan muda supaya mempertimbang pembelian rumah subsale (rumah yang dimiliki dan dijual semula) memandangkan harganya lebih rendah dan di bawah harga pasaran.

“Untuk golongan muda sekarang, saya sangat menggalakkan mereka untuk membeli kediaman subsale atau rumah yang pernah dimiliki dan dijual semula.

“Banyak kelebihan membeli rumah jenis ini antaranya nilainya lebih rendah. Harga rumah ini biasanya di bawah harga pasaran.

“Pembeli kediaman pertama juga berpeluang untuk mendapatkan pulangan tunai.

“Selain itu, kelebihan lain bagi pembeli rumah pertama adalah mereka layak membeli kediaman kos rendah berbanding pembeli rumah kedua dan seterusnya,” ujarnya.

Jelasnya, kelebihan rumah kos rendah ini adalah kerana harganya yang mampu milik.Oleh itu komitmen bulan pemilik menjadi rendah berbanding dengan menyewa rumah.

Pada masa sama, beliau mengingatkan golongan muda supaya bersikap realistik dalam merancang pemilikan hartanah.

“Saya tidak kata anak-anak muda tidak boleh memiliki rumah impian.

“Rumah impian itu mungkin boleh mereka dapat ketika pendapatan sudah matang untuk kediaman kedua kelak.

“Ketika itu rumah pertama boleh dijadikan sebagai aset atau pelaburan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN