KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menempelak pihak yang mendakwa lawatan kerjanya ke Perancis dan Itali baru-baru ini tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan tersebut berjaya membuka potensi pelaburan bernilai berbilion ringgit, namun masih gagal difahami oleh sesetengah pihak khususnya dalam kalangan pembangkang.
“Projek sudah berjalan dan sepatutnya Ahli Parlimen di Kedah, di Johor boleh tengok. Projek itu besar, bukan kecil walaupun cip itu kecil, bangunannya besar. Itu pun tak nampak.
“Yang sudah terlaksana ini pun tidak nampak. Kalau orang kata pelaburan berpuluh bilion tetapi dakwa tiada apa, itu masalah rabun, bukan masalah saya.
“Pergilah jumpa pakar mata. Kalau tak ada, kita minta (Datuk Seri Dr.) Wan Azizah bantu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memperincikan angka dan projek berkaitan potensi pelaburan tersebut kepada Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menafikan dakwaan bahawa lawatan Perdana Menteri ke Perancis dan Itali tidak membawa sebarang manfaat.- KOSMO! ONLINE