KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Tun Dr .Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dua tuntutan saman akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari.
Ia berikutan apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara baik kedua-dua tuntutan saman fitnah tersebut.
Dalam tuntutan saman itu Dr. Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahmad Zahid, 73, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’, tanpa kebebasan memfailkan semula.
Sementara itu, Ahmad Zahid pula turut menarik balik saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Pada masa sama, Ahmad Zahid juga bersetuju menarik balik permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Mahathir.
Prosiding itu berkaitan tindakan Dr. Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Disember tahun lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu “kutty.” – KOSMO! ONLINE