PETALING JAYA – Masih ramai rakyat Malaysia yang keliru berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) apabila ada yang mendakwa segala transaksi termasuk pemindahan wang dan urusan perkahwinan turut dikenakan cukai itu.
Bagaimanapun, seorang pengguna TikTok, @Enaa tampil menjelaskan kekeliruan tersebut apabila mendakwa orang ramai sebenarnya tidak memahami bagaimana sistem SST berfungsi.
Menurutnya, SST terbahagi kepada dua iaitu Cukai Jualan yang dikenakan di peringkat pengilang, manakala Cukai Perkhidmatan pula hanya melibatkan penyedia perkhidmatan tertentu seperti perbankan.
“Kalau guna perbankan dalam talian, QR Pay, atau pindah duit ke akaun mak ayah, itu tak ada SST. Yang kena hanya caj perkhidmatan tertentu, seperti yuran tahunan kad kredit, caj agensi, ataupun servis fee.
“Kalau loan RM100,000 bukan terus kena SST 8 peratus. Hanya ‘processing fee’ sahaja yang tertakluk kepada SST,” katanya.
Tambahnya, urusan berkaitan kecantikan dan perkahwinan juga tidak dikenakan SST kecuali sekiranya syarikat tersebut mencatat pendapatan mencecah RM1 juta setahun. Had itu sebelum ini adalah RM500,000.
@Enaa turut menegur sikap masyarakat yang malas membuat semakan sama ada sesuatu syarikat benar-benar berdaftar dengan SST atau sebaliknya.
“Anda semua minta je nombor pendaftaran SST kalau rasa was-was. Jangan sampai syarikat tak audit, tak daftar SSM, tiba-tiba pandai-pandai kenakan SST,” ujarnya.
Mengulas mengenai harga barangan keperluan, dia menegaskan beras, ayam, minyak masak, bawang, cili dan sebagainya tidak terkesan dengan SST kerana ianya tertumpu kepada barangan bukan keperluan asas.
“Kalau ada peniaga naikkan harga ayam sesuka hati, laporkan sahaja kepada tribunal,” katanya.
Dalam masa sama, dia menjelaskan kerajaan juga telah memberi pengecualian cukai ke atas buah-buahan import tertentu seperti oren, epal, limau mandarin dan kurma manakala buah tempatan sememangnya tidak pernah dikenakan cukai.
“Realitinya, SST ni bersasar. Yang kena cuma barang bukan keperluan asas atau perkhidmatan tertentu sahaja,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif yang menunggang sentimen rakyat tanpa memahami fakta sebenar.
“Kerajaan memang tak sempurna, tapi yang penting mereka masih mendengar,” katanya.— KOSMO! ONLINE