fbpx
PAMERAN KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari menghimpunkan seniman dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari angkat naratif empat negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) merasmikan pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari.

Pameran yang menghimpunkan karya seni daripada seniman-seniman rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam- Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA) mula dibuka kepada orang ramai pada 18 Julai 2025 hingga 31 Mei 2026 di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

Menurut Balai Seni Negara, pameran tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah agenda Diplomasi Budaya yang selaras dengan Pelan Strategik MOTAC 2021–2025, terutamanya dalam memperkasa jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan. 

“Penganjurannya juga sejajar dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E) serta menjadi antara pengisian sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

SHAHARUDDIN (kanan) dan Amerrudin (dua dari kanan) melawat pameran yang berlangsung sehingga 31 Mei 2026 di Balai Seni Negara.

“Melalui pameran ini juga, Balai Seni Negara memberi tumpuan kepada refleksi visual para seniman dari keempat-empat negara yang menyentuh dimensi ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta yang paling utama, kearifan tempatan dalam wilayah timur ASEAN. 

“Wilayah ini merangkumi keseluruhan kesultanan Brunei Darussalam dan jalur Kalimantan dari Pontianak hingga Balikpapan di Indonesia, wilayah Sulawesi dan Maluku, negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Borneo Malaysia serta bahagian selatan Filipina yang meliputi Kepulauan Mindanao dan Palawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perasmian pameran itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha (MOTAC),  Datuk Shaharuddin Abu Sohot. Turut hadir Ketua Pengarah LPSVN Amerrudin Ahmad, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para kurator dan penggiat seni visual dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

Antara seniman yang terlibat ialah Josrie Haral, Muslim Mattajim dan Dr. Mohamad Faizuan Mat dari Malaysia manakala Brunei Darussalam diwakili oleh Umi Zaty Bazillah Zakaria dan Asilah Maziyah Dr. Mohamad Yussof. 

Seniman dari Filipina pula terdiri daripada Chester M. Mato, Romy Jones Mata, Leonard B. Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alynnah Macla.

SENIMAN memberi penerangan mengenai karya kepada tetamu-tetamu kehormat semasa sesi lawatan.

Sementara itu, Indonesia diwakili oleh Audro Chrustofel Rompas bersama dua kolektif seni iaitu Susur Galur dari Pontianak yang menghimpunkan Muchamad Riduwan, Tito Prastio dan Elfrida Citra Rominggagas serta Muara Suara dari Samarinda yang terdiri daripada Robby Ocktavian, Prashasti Wilujeng Putri dan Rio Raharjo.

Penglibatan kurator serantau turut mencorakkan arah kuratorial pameran ini, melibatkan Zakaria Omar dari Brunei Darussalam, I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama dari Indonesia serta Al Nezzar B. Ali dari Filipina.

Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari memperlihatkan pelbagai bentuk ekspresi artistik termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi. 

Sebanyak 12 karya dipamerkan termasuk satu karya daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman dari Malaysia, Yee I-Lann.

Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati pelbagai naratif seni dari rantau BIMP- EAGA, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman yang lebih meluas terhadap persamaan dan perbezaan dalam landskap budaya Timur Asia Tenggara. 

Untuk maklumat lanjut mengenai pameran ini, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI