fbpx
BERMULA minggu ini, Raja Azura memasuki konti Suria FM sebagai penyampai jemputan.

‘Kak Engku penyampai jemputan sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas sedekad, pelakon Raja Azura atau Kak Engku kembali ke konti radio apabila menggamatkan segmen Morning Morning Suria (MMS) di Suria FM, pagi tadi.

Mencetuskan tanda tanya, adakah dirinya pengganti Datu]k Fizz Fairuz yang mengundurkan diri, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid, bagaimanapun menjelaskan kehadiran selebriti versatil itu hanya sebagai penyampai jemputan untuk bergandingan dengan Ajak Shiro dan Kai Hassan minggu ini.

“Kak Engku merupakan DJ berpengalaman serta orang lama dalam dunia hiburan dan penyiaran, sekali gus kami berbesar hati apabila beliau dapat ke udara bersama Suria FM.

“Memanggil personaliti popular sebagai penyampai jemputan bukan sesuatu yang baru buat stesen radio ini kerana sebelum ini pun sudah ramai yang kita undang untuk bersiaran.

“Bukan setakat segmen pagi sahaja, waktu lain pun ada. Ada yang muncul sehari atau seminggu, bahkan terdapat juga jemputan ke udara selama sebulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Pada masa sama, Roslinda atau DJ Lin tidak menolak cadangan pendengar agar Suria FM ‘mengikat’ Raja Azura sebagai penyampai tetap stesen radio terbabit.

“Kami menerima banyak maklum balas positif daripada pelbagai pihak selepas kemunculan Kak Engku pagi tadi yang rata-rata mahu beliau dikekalkan.

“Memang terbukti pendengar terhibur mendengar celotehnya selain dikatakan serasi bergandingan dengan Ajak serta Kai. Apa pun kita serahkan kepada pengurusan untuk buat pertimbangan.

“Jika dapat banyak permintaan bermakna pendengar suka. Kita tunggu kalau ada perkembangan lanjut. Buat masa ini kita ikuti celoteh serta pengisian yang disampaikan mereka,” ujarnya.

Sejak pagi tadi laman sosial stesen radio terbabit dibanjiri komen pendengar setia yang memaklumkan mengikuti saluran berkenaan semata-mata kerana kemunculan Raja Azura.

Dalam kalangan peminat, ramai menyangka kehadirannya adalah sebagai pengganti kepada bekas penyampai, Datuk Fizz Fairuz yang berundur dari stesen terbabit minggu lalu.

Terdahulu, Raja Azura, 53, pernah bersama-sama Salih Yaakob mengendalikan segmen Sinar Pagi menerusi Sinar FM selama sembilan tahun sebelum kontrak mereka tidak disambung pada 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI