JAKARTA – Walaupun jumlah titik panas di Riau mulai berkurangan, jerebu tebal dilihat meliputi ibu negeri wilayah berkenaan, kota Pekanbaru hari ini, lapor portal berita Riaupos.co.
Pegawai Ramalan Cuaca, Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Pekanbaru, Yudhistira M berkata, berdasarkan pemantauan radar satelit BMKG Pekanbaru, terdapat 451 titik panas kesemuanya di Pulau Sumatera.
Sementara itu, suhu wilayah Riau adalah antara 23 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius.
“Melihat jerebu cukup tebal yang menyelimuti kota Pekanbaru, memang (ia) berasal dari ibukota wilayah ini sendiri, kerana kebakaran banyak terjadi di bahagian utara Riau,” kata Yudhistira.
Cuaca di Riau pagi tadi adalah cerah berawan.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Santi berkata kepada portal berita Cakaplah.com: “Pagi-pagi lagi apabila saya membuka pintu rumah, bau asap langsung terasa. Ini mirip kejadian beberapa tahun lalu.
“Jangan sampai sekolah ditutup sekali lagi dan aktiviti ekonomi lumpuh seperti dahulu,” katanya.
Menurut Santi, kira-kira pukul 5.55 pagi (waktu tempatan), hujan turun di sekitar rumahnya walaupun sekejap.
“Mudah-mudahan, dalam tempoh beberapa hari akan datang, hujan akan turun agar jerebu hilang,” katanya.
Sementara itu, sebahagian penduduk sudah mula menggunakan pelitup muka ketika keluar rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, BMKG Pekanbaru berkata, jerebu akibat kebakaran hutan di Riau berpotensi bergerak ke arah Malaysia. – AGENSI