SUNGAI PETANI – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menganugerahkan kontrak katering kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau belum boleh membuat sebarang komen setakat ini selagi tidak menerima maklumat lengkap daripada Jakim.
“Saya akan respon perkara itu apabila dapat maklumat Jakim. Saya memang sudah arahkan kepada Ketua Pengarah Jakim untuk tengok isu itu dan kemudian maklum kepada saya.
“Saya tak boleh nak respon selagi tidak dapat maklumat daripada Jakim,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan terbabit kemalangan dengan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.
Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 tentang syarikat yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027 yang tiada sijil halal Jakim.
Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.
LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal kerana ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Sementara itu dalam lawatan berkenaan, Mohd. Na’im menyampaikan sumbangan RM10,000 melalui pelaksanaan Program Ziarah Madani Peduli kepada keluarga Mohd. Lutfi Radzi, 37, yang terlibat nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak pada 9 Jun lalu. -KOSMO! ONLINE.