fbpx
Allahyarham Zyan Ryan

Ismanira syak anak dicekup, dilarikan orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu arwah Zayn Rayyan Abdul Matin mengesyaki anak sulungnya itu dicekup dan dilarikan orang pada hari kejadian kanak-kanak itu hilang di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada 5 Disember 2023.

Dalam pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia beranggapan begitu kerana tiada bunyi tapak kasut Zayn ketika anaknya berada di belakang semasa kedua-dua mereka menaiki tangga untuk ke rumah selepas Zayn bermain buaian.

Pendakwaan: Dia berjalan di belakang, maksudnya puan memang jalan di hadapan dia, bukan di sebelah, bukan di tepi, memang jalan di hadapan. Ya?
Ismanira: Ya.

Pendakwaan: Kemudian puan kata, keterangan puan semalam, “Tiba-tiba saya sedar tak ada bunyi tapak kasut.” Tapak kaki, tapak kasut.
Ismanira: Ya.

Pendakwaan: Pada ketika mana yang puan sedar tiada bunyi?
Ismanira: Ketika saya menaiki separuh tangga, untuk tangga ke rumah.

Pendakwaan: Tapi kenapa sudah separuh tangga tingkat satu sahaja baru puan sedar tiada ada bunyi tapak kasut tu?
Ismanira: Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang. Kerana saya langsung tidak mendengar bunyi tapak kasutnya.

Ujarnya meskipun dia tidak mendengar bunyi tapak kasut individu berlari, namun wanita itu tetap berpendirian mengesyaki anaknya dicekup dan dilarikan.

Ismanira turut memaklumkan dia menggunakan deria pendengaran untuk mengawasi Zayn pada waktu itu yang mana kanak-kanak itu berada di belakangnya.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.

Semasa prosiding, Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-dua mereka berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI