KLANG – Taktik sindiket penyeludupan rokok menjadikan gudang di Zon Bebas Pelabuhan Utara sebagai lokasi transit sebelum dieksport luar negara terbongkar, baru-baru ini.
Serbuan dilakukan pada 5 Jun lalu berjaya menyita tiga buah pallet berisi 1.08 juta batang rokok bernilai RM855,360 termasuk cukai.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, siasatan mendapati kesemua rokok itu diisytiharkan sebagai cermin mata renang bagi mengelak dikesan pihaknya.
Katanya, pengimportan rokok adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam seperti digariskan dibawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kita percaya lokasi baharu sahaja menjadi transit kepada sindiket berkenaan.
“Rokok-rokok itu berkemungkinan akan dieksport untuk luar negara, ” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, selang lebih seminggu kemudian pihak berjaya merampas 585 kilogram (kg) cerut dan 756 kg di Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Tambahnya, kedua-dua barang dagangan bernilai RM546,920 itu dipercayai dari salah sebuah negara di Asia Tenggara.
“Sindiket telah mengisytiharkannya sebagai bahan makanan. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE