fbpx
Gambar Hiasan

Gaji minimum RM1,700 dikuat kuasa penuh mulai 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,700 sebulan akan dikuatkuasakan kepada semua majikan di seluruh negara bemula 1 Ogos ini.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 itu sebelum ini telah mula dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Februari lalu.

Jelasnya, ini bagi majikan yang mempunyai lima pekerja dan ke atas serta menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.

Namun katanya, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, satu tempoh penangguhan selama enam bulan telah diberikan dan akan tamat pada 31 Julai ini.

“Ini bermakna, bermula 1 Ogos ini, semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan, perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.

“Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang
yang berkuat kuasa.

Jelasnya, majikan juga digesa membuat penyesuaian operasi secara progresif, termasuk pelaburan dalam latihan kemahiran dan peningkatan produktiviti pekerja.

Menurut kementerian itu, kegagalan mematuhi PGM adalah satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

“Jika disabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.

“Maknakala, bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kesuma menggalakkan majikan menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.

Melalui DGP, majikan boleh meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, di samping menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

“Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kesuma di www.minimumwages.mohr.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI