LONDON – Sepupu kedua kepada Prince of Wales, Putera William dan Duke of Sussex, Putera Harry ditemukan mati di England dalam insiden yang disifatkan tiada tanda-tanda mencurigakan, lapor akhbar New York Post semalam.
Rosie Roche, 20, yang merupakan cucu kepada bapa saudara mendiang Puteri Diana, meninggal dunia di rumah keluarganya pada 14 Julai lalu.
Sepucuk senjata api dilaporkan ditemui berhampiran mayat Roche, lapor akhbar The Sun UK.
Mayatnya ditemukan oleh ibu dan saudara perempuannya sejurus selepas dia berkemas untuk percutian bersama rakan-rakan.
Koroner Grant Davies berkata, polis menganggap kematian itu sebagai tidak mencurigakan.
“Tiada penglibatan pihak ketiga,” tambahnya.
Roche dilaporkan sedang menyambung pelajaran untuk mendapatkan ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris di Universiti Durham.
Obituari untuk dua pupu William dan Harry itu telah diterbitkan oleh akhbar The Yorkshire Post pada 19 Julai lalu.
Ia menyatakan bahawa majlis pengebumian Roche akan diadakan secara tertutup dalam kalangan keluarga terdekat, manakala upacara peringatan akan diadakan kemudian. – AGENSI