KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa akur apabila kedudukan mereka selaku gandingan No.1 dunia dirampas pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Gandingan yang diberi julukan DinFei itu kini jatuh ke tangga ketiga dunia selepas tewas kepada beregu Korea tersebut pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo Ahad lalu.
Hasil kemaskini dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini turut menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menjadi gandingan No.1 negara apabila mereka kekal di ranking kedua dunia.
Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula kekal di ranking ketujuh dunia, sekali gus melengkapkan tiga wakil Malaysia dalam kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia manakala Arif Junaidi-Yap Roy King di tangga ke-24.
Dalam pada itu, ranking dua lagi beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melonjak ke kedudukan ke-28 dan 25 dunia selepas menampilkan aksi cemerlang sebelum ini.
Bagi acara beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai gandingan ketiga dunia meskipun sekadar muncul naib juara pada Terbuka Jepun minggu lalu.
Sementara itu, ranking perseorangan lelaki, Leong Jun Hao jatuh dua anak tangga ke ranking 26 dunia manakala pemain profesional, Lee Zii Jia merudum ke kedudukan 33 dunia selepas tidak beraksi sejak Mac lalu susulan kecederaan buku lali.
Bagaimamapun, Zii Jia masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kesembilan dunia yang diaktifkan Mac lalu, sekali gus membolehkan dia kembali menyertai kejohanan Jelajah Dunia sebaik melakukan kemunculan semula.
Dalam acara beregu campuran, tiada perubahan ranking melibatkan pasangan negara apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal di ranking keempat manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai (No.6) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (No.13). – KOSMO! ONLINE