KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 untuk memperkasa aspek kebersihan awam di negara ini.
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan dibahaskan 10 ahli parlimen.
Kor Ming berkata, sebaik sahaja diwartakan pada 1 Januari 2026, RUU itu akan dapat menangani isu pembuangan sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan pembungkus makanan di tempat serta jalan awam.
Katanya, selain itu, RUU tersebut juga terpakai kepada semua termasuk warganegara dan pelancong asing.
“Sekiranya membuang sampah kecil walaupun pesalahnya adalah pelancong asing, undang-undang dengan tindakan sama adalah terpakai sama seperti rakyat Malaysia.
“Hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat dapat mendidik pesalah agar lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE