KUALA LUMPUR – “Jadi soal guru ini sangat penting. Datanglah kita panggil teknologi apa pun, teknologi tidak akan dapat mengambil alih peranan guru dan guru masih lagi menjadi sentral kepada keseluruhan ekosistem digital.”
Demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bahawa guru merupakan elemen utama dalam kejayaan pelaksanaan pendidikan digital dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di sekolah-sekolah seluruh negara.
Fadhlina turut menyentuh tentang komitmen kementerian dalam memastikan tiada sekolah mahupun pelajar yang tercicir dalam arus digital, termasuk Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah pendidikan khas dan sekolah di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak.
Katanya, pendekatan inklusif ini adalah tunjang kepada dasar pendidikan digital yang bersifat menyeluruh dan adil.
“Dasar pendidikan digital kita ini adalah dasar yang inklusif dan komprehensif, meliputi semua anak-anak kita di mana saja mereka berada,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Digital Ultilisation and Technology Awards (DUTA) 2024 di sini, hari ini.
Beliau turut mengumumkan langkah seterusnya dalam memperkukuh pendidikan digital, termasuk mewujudkan ‘AI Powered Classroom’ di sekolah-sekolah terpilih yang telah menunjukkan pencapaian tinggi dalam penggunaan teknologi digital.
Jelasnya, kelas tersebut dijangka memperkenalkan teknologi AI dalam sesi pembelajaran secara lebih mendalam dan berstruktur.
Selain itu, katanya perhatian juga diberikan kepada pendidikan khas dengan penekanan terhadap bagaimana teknologi dapat membantu guru dalam penyampaian pengajaran kepada murid berkeperluan khas.
“Banyak aspek telah diterokai untuk memastikan manfaat teknologi ini dapat disalurkan kepada anak-anak istimewa ini. Guru-guru pendidikan khas memainkan peranan besar dalam hal ini,” jelasnya
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Digital, terutama dalam memperkenalkan dan memperkukuh etika siber nasional dalam kalangan warga pendidikan. – KOSMO! ONLINE