BENTONG – Seorang bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang hilang sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia di dalam kereta yang diletakkan di hadapan sebuah klinik di sini semalam.
Mangsa, Normashita Abd. Manaf, 50, dijumpai oleh orang awam di tempat duduk hadapan kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mengiring ke kiri.
Difahamkan, wanita itu yang menderita beberapa penyakit termasuk kanser hati berkemungkinan mengalami semput dan cuba mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.
Rakan karibnya, Razita Razali, 41, berkata, dia tidak menyangka kata-kata arwah yang menetap bersama adiknya di Shah Alam, Selangor mahu tinggal selama 10 hari di Bentong merupakan petanda wanita itu akan pergi selama-lamanya.
Menurut Razita, dia berasa kesal kerana tidak sempat berjumpa dengan Normashita memandangkan dia baru kehilangan abang dan ibunya yang meninggal dunia minggu lalu.
“Dia (arwah) ada menghubungi saya pada Khamis lalu. Saya tanya berapa lama nak duduk sini dia jawab nak duduk 10 hari sahaja dan genap 10 hari dia sudah tiada.
“Saya tak sempat nak jumpa dia, saya beritahu Isnin jumpa nak bagi lampin pakai buang dan susu. Emak saya baru meninggal dunia, jadi dalam keadaan begini saya berasa ralat,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, dia juga kesal kerana tidak dapat menemani mangsa ke Pekan untuk berubat secara tradisional menyebabkan wanita itu terpaksa memandu sendiri ke daerah tersebut.
Tambahnya arwah datang ke Bentong dan tinggal di rumah pusaka keluarganya di Bukit Piatu di sini bagi menguruskan pencen ilat selepas dia menamatkan perkhidmatan awal disebabkan masalah kesihatan.
Arwah seorang yang mesra dan periang. Wanita itu mengajar masakan di Kemas Bentong. Jenazah Normashita dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Bentong kira-kira pukul 9 pagi tadi.- KOSMO! ONLINE