fbpx
Ng (tiga dari kanan) bersama Micheal Chong (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Bapa bikin hutang, ‘Little 3’ ugut keluarga tuntut RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dari Jinjang Utara ‘rimas’ selepas keluarganya menjadi mangsa gangguan berterusan daripada seorang wanita misteri yang mengaku sebagai perempuan simpanan bapanya serta beberapa ceti haram.

Mangsa, Ng, 32, seorang pegawai khidmat pelanggan, mendakwa keluarganya mula diganggu sejak akhir Jun 2025 oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Little 3’.

Menurutnya, selain menerima panggilan dan mesej ugutan, keluarga juga didakwa menerima tekanan daripada pihak dipercayai ceti haram yang menuntut bayaran hutang yang tidak diketahui jumlah asalnya.

“Ini bukan kali pertama bapa saya berhutang. Pada Januari lalu, kami sekeluarga telah melunaskan hampir 30 hutang ceti bagi pihak bapa, berjumlah sekitar RM150,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Paling mengejutkan, pada Julai 2024, wanita itu hadir ke rumah nenek mereka dan menuntut keluarga bertanggungjawab ke atas hutang yang didakwa mencecah RM300,000.

“Setiap kali dia muncul, pasti ada lebih ramai peminjam muncul selepas itu. Dia juga memuat naik gambar bapa kami di media sosial dan menandai adik-beradik saya dalam hantaran itu. Poster mengandungi gambar bapa turut dihantar ke rumah ibu saudara kami,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, keluarga percaya wanita itu berjaya mendapatkan butiran peribadi dan nombor telefon semua ahli keluarga mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan keselamatan.

“Saya sangat terganggu kerana perkara ini tiada kaitan langsung dengan kami, tetapi kami pula jadi mangsa. Saya pun dah tak hubungi bapa sejak beberapa bulan lalu,” ujarnya.

Susulan itu, laporan polis dibuat kerana khuatir keselamatan diri dan keluarga terancam.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong, mengesahkan pihaknya menerima aduan berkaitan dan menyeru pihak berkuasa bertindak segera bagi melindungi keselamatan mangsa.

Katanya, kes kini dalam siasatan polis dan pihaknya berharap tindakan tegas diambil bagi menamatkan penderaan psikologi yang dialami mereka akibat hutang pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI