LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Darwin Nunez mula memberikan mesej jelas buat pengendali pasukan, Arne Slot selepas meledak hatrik untuk membantu kemenangan 5-0 ke atas Stoke City pada aksi persahabatan tertutup kelmarin.
Berdasarkan prestasi semasa, Liverpool seolah-olah melaungkan amaran awal kepada para pencabar bahawa mereka benar-benar serius berkemampuan untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beberapa lagi kejuaraan lain musim depan.
Di sebalik berita yang mengaitkan perpindahannya, bintang dari Uruguay itu seakan langsung tidak terkesan apabila mencipta sensasi dengan menghasilkan tiga gol hanya dalam tempoh 14 minit.
Pada perlawanan sama, pemain baharu The Reds, Florian Wirtz turut mencuri tumpuan apabila berada dalam kesebelasan utama yang menyaksikan Slot mempertaruhkan barian terkuat sepanjang babak pertama permainan.
Kemudiannya, Slot melakukan 10 pertukaran untuk tempoh 45 minit kedua, mengeluarkan Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Andy Robertson dan Dominik Szoboszlai dengan memasukkan Ibrahima Konate, Cody Gakpo, Kostas Tsimikas, Ryan Gravenberch selain dua lagi pemain baharu, Milos Kerkez serta Jeremie Frimpong.
Melengkapkan kemenangan bergaya The Reds menyaksikan Rio Ngumoha dan Federico Chiesa masing-masing menyumbangkan satu gol.
Sebelum ini, nama Nunez sering disebut bakal melangkah keluar meninggalkan Anfield ketika Liverpool sedang berusaha keras membawa masuk Hugo Ekitike daripada Eintracht Frankfurt dan penyerang Newcastle United, Alexander Isak.
Bagaimanapun, Nunez dan seorang lagi pemain yang dikatakan bakal berhijrah, Luis Diaz tetap berada dalam senarai 29 pemain yang akan terbang ke Hong Kong untuk pramusim, manakala nama Chiesa tidak tersenarai. – AGENSI