fbpx
Allahyarham Zayn Rayyan

Zayn Rayyan: Pendakwaan perlu teliti hujahan tambahan pihak pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keputusan kes ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang sepatutnya diketahui pagi ini ditangguhkan sementara di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

Ia berikutan apabila Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah, pihak pembelaan baru sahaja memfailkan hujahan tambahan pada hari ini.

“Pihak pendakwaan baru sahaja menerima hujahan tambahan dari pihak peguam pagi tadi di mahkamah. Dalam hujahan tersebut dimaklumkan terdapat beberapa isu dan pendakwaan perlu menjawab isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.

Mendengar perkara itu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian membenarkan permohonan pendakwaan meneliti dokumen hujahan tersebut dan menangguhkan prosiding selama satu jam.

“Mahkamah mengambil maklum tentang kes ini dan membenarkan pendakwaan untuk meneliti,” katanya.

Semasa prosiding, tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI