fbpx
You Wei ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

You Wei ada bipolar mengaku tak bersalah tikam leher bekas kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang penuntut universiti swasta yang juga penghidap bipolar disorder mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menikam leher bekas kekasihnya sehingga cedera parah, minggu lalu.

Tertuduh, You Wei, 22, yang merupakan warga China membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Norazlin Othman.

You didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Wu Jalin, 20, dengan menikam leher kira wanita itu dengan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di tingkat dua sebuah universiti swasta di Subang Jaya pada pukul 6.30 petang, 14 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara menunggu semakan Imigresen kerana dikhuatiri terdapat risiko melarikan diri meskipun pasportnya masih sah sehingga 31 Oktober 2026.

Peguam Revin Kumar dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan penuntut tahun tiga di sebuah universiti di Subang Jaya dan menghabiskan pengajiannya setahun lagi.

“Anak guam saya juga menerima rawatan bipolar disorder di sebuah klinik swasta dan telah direman selama tujuh hari sejak ditahan 14 Julai lalu.

“Dia telah berada di negara ini sejak September 2023 dan berjanji akan terus berada di Malaysia bagi menjawab semua (dalam perbicaraan nanti). Pohon benarkan jaminan dengan syarat tambahan seperti serahan pasport dan lapor diri di Balai Polis,” katanya.

Turut mengikuti prosiding ialah Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, Chew Sin Yee, Mohd Safwan Saleh dan M. Partiben sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali.

Selain itu, pasport tertuduh juga diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Sebutan semula pada 17 September ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penuntut wanita cedera selepas dikelar oleh bekas teman lelakinya dalam kejadian di kawasan kampus sebuah universiti swasta di Subang Jaya.

Dalam insiden tersebut, suspek berusia 21 tahun yang juga warga asing, dipercayai mencederakan mangsa berusia 20 tahun dengan menggunakan senjata tajam pisau.

Kedua-duanya difahamkan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI