GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas maut ketika melakukan aktiviti mendaki di Moongate Trail berhampiran Taman Botani, di sini hari ini.
Mangsa, Lim Kee Wan, 60, disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.56 pagi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 10.11 pagi dengan kekuatan lapan anggota dan cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri. Namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.
Mangsa dibawa turun ke kaki bukit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 1.01 tengah hari. – KOSMO! ONLINE