KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung video tular berdurasi 32 saat yang memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dipercayai dimanipulasi bagi tujuan penipuan kewangan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Rusdi Mohd. Isa, video berkenaan dikesan di platform TikTok.
“Kandungan video tersebut memaparkan seolah-olah Yang di-Pertuan Agong memberikan ucapan menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia, dan menggesa individu yang mengalami masalah kewangan supaya menghubungi seseorang bernama Datuk Zulkarnain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PDRM menegaskan bahawa kandungan video tersebut adalah palsu dan dipercayai telah dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Jelasnya, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan menyamar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kandungan video berkenaan dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan dalam video kerana ia adalah cubaan penipuan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE