PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal nyaris kehilangan nyawa selepas lehernya terbelit tali layang-layang dalam kejadian di hadapan Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi 53 saat yang tular di Facebook, mangsa memaklumkan terdapat beberapa layang-layang terlepas dari taman tasik itu sehingga memasuki kawasan jalan utama.
“Tolong ambil tindakan, layang-layang sampai seberang dekat jalan besar (utama). Yang lagi sakit ini (luka di leher). Selamat pakai kain, kalau tak, habis ini…dah putus (leher).
“Berbelit tali…baju terkoyak, beg terkoyak asbab kena tali layang-layang dari Tasik Metropolitan Kepong yang masuk ke (kawasan) jalan raya,” katanya.
Jelasnya, tali layang-layang tersebut terbang rendah dan hampir tidak kelihatan sehingga mengundang kemalangan.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan mengenai penggunaan tali gelasan yang kerap digunakan oleh pemain untuk memutuskan tali lawan, namun berbahaya sekiranya diterbangkan di kawasan awam.
“Allah…hampir terputus kepala. Tali gelasan sangat bahaya. Mungkin kena tukar jenis tali lain untuk lebih selamat,” cadang Ramli.
“Allahuakbar, bahayanya,” kata Bjoe.
“Kesiannya. Pergi buat laporan polis. Tak sesuai kawasan tu sebab bersebelahan jalan utama. Apabila terlepas undang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama yang naik motosikal,” kata Syukri. – KOSMO! ONLINE