fbpx
Ismanira (kanan) diperintah membela diri manakala bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO - FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Takkan saya nak menangis setiap masa – Ismanira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan dakwaan saksi pendakwaan keempat, yang juga pegawai polis yang memberitahu mahkamah wajahnya kelihatan ‘kosong’ ketika siasatan awal dilakukan.

Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia sendiri tidak faham apa maksud pegawai polis berkenaan yang mengatakan wajahnya ‘kosong’ pada perbicaraan lalu.

“Saya tidak faham dengan apa yang dia (saksi pendakwaan keempat) cakap sebab saya ini daripada anak saya hilang, saya sudah alami satu perkara yang perit…gelap. Menangis seharian. Semasa dia sampai pun sudah lewat malam, fikiran saya cuma pada Zayn kat mana dia…dengan hujan lagi.

“Jadi tidak faham apa maksud dia muka kosong. Takkan saya nak menangis setiap masa?” katanya.

Ismanira menjelaskan, pegawai polis itu tiba di kediamannya, Apartmen Idaman Damansara Damai, 10.30 malam selepas panggilan pertama dibuat kira-kira 6 petang.

Sebelum ini saksi pendakwaan keempat iaitu Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, yang merupakan bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya
berkata reaksi Ismanira seperti “kosong” dan tiada perasaan ketika dia bertemu dengan wanita itu di Apartment Idaman, Damansara Damai untuk merakam percakapan pada pada 5 Disember 2023.

Dalam pada itu, Ismanira turut menafikan dia
mengabaikan anak sulungnya seperti mana dalam pertuduhan.

“Tidak! Saya tidak pernah mengabaikan Zyan khususnya pada 5 haribulan itu,” katanya ketika pemeriksaan utama peguamnya, Haresh Mahadevan.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari
dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Perbicaraan bela diri bersambung lagi esok.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN