JAKARTA – Seorang lelaki dari Kota Kendari, wilayah Sulawesi Tenggara membuat laporan polis selepas ‘menangkap’ isterinya sedang asyik berkaraoke bersama jejaka lain pada lewat malam, lapor laman berita Detik Sultra semalam.
Menurut lelaki dikenali sebagai MF, dia menyaksikan perbuatan isterinya, HJR, di sebuah pusat hiburan, Jumaat lalu.
Menurut MF, dia sudah lama berasa curiga terhadap wanita itu apabila sikapnya semakin berubah.
HJR dikatakan sering keluar dari rumah tanpa pengetahuan MF sehingga lewat malam serta meninggalkan anak mereka yang masih kecil kepada adiknya.
Selepas menerima maklumat mengenai keberadaan isterinya pada malam Jumaat lalu, MF dengan segera pergi ke pusat karaoke tersebut.
Ketika ditangkap, HJR dikatakan langsung tidak menunjukkan rasa penyesalan, sebaliknya dia membela diri dengan pelbagai alasan.
“Saya membanting tulang bekerja demi keluarga, tetapi kepercayaan saya dipermainkan,” kata MF.
Susulan kejadian itu, MF melaporkan isterinya kepada polis atas dakwaan berdua-duaan.
“Saya mahukan keadilan. Pengkhianatan dalam rumah tangga tidak boleh ditoleransi. Undang-undang perlu dituruti dan kehormatan keluarga harus dijaga,” katanya. – AGENSI