Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PETALING JAYA – Harapan skuad bawah 23 negara (B-23) negara untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Asean B-23 2025 tidak kesampaian selepas seri tanpa jaringan bertemu Indonesia sebentar tadi.
Pada aksi terakhir Kumpulan A itu, skuad negara perlukan kemenangan minimum 3-0 ke atas skuad Garuda Muda di gelanggang keramat tuan rumah, Gelora Bung Karno untuk mencerahkan peluang ke peringkat kalah mati.
Pengendali skuad negara, Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dengan Fergus Tierney, Haqimi Azim dan Alif Izwan Rosli mengetuai jentera serangan.
Namun, tuan rumah dilihat mudah mendominasi sebahagian besar babak pertama dengan 70 peratus penguasaan bola sekali gus menyukarkan skuad muda Harimau Malaya untuk melakukan asakan ke kubu lawan.
Bersambung pada babak kedua, pasukan Indonesia juga memiliki beberapa peluang keemasan menerusi penyerang sensasi, Jens Ravven tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara.
Terdesak untuk mencari gol, Nafuzi merombak kesebelasan utama dengan memasukkan penyerang seperti Abdul Rahmad Daud dan Danish Syamer tetapi keputusan kekal hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara gagal selepas mengutip empat mata manakala Filipina di kedudukan kedua Kumpulan A dengan enam mata selepas menewaskan Brunei 2-0.
Indonesia pula kekal dengan status juara kumpulan apabila mengutip tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Nafuzi sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada kejohanan berprestij peringkat belia edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE