fbpx
Gambar hiasan

Panik diugut ada waran tangkap, warga emas rugi RM158,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Panik selepas diugut memiliki waran tangkap, seorang lelaki warga emas terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM158,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penipuan bermula selepas lelaki berusia 73 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans.

Katanya, dalam perbualan itu, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran dengan panggilan telefon kemudian disambungkan kepada seorang lelaki kononnya seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Lelaki itu diberitahu yang dia terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram melibatkan nilai sebanyak RM2 juta selain terdapat waran tangkap atas namanya.

“Dalam keadaan panik, mangsa telah diugut dan diarahkan untuk membuat 12 transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM158,000 untuk jaminan dan siasatan dalaman,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan pemilik akaun yang terlibat dalam transaksi penipuan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI