PETALING JAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) pada 30 Julai hingga 3 Ogos ini, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
KKDW menerusi kenyataan berkata, ia diadakan bersempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D) bertemakan ‘Desaku Mendunia’ adalah sebuah acara berskala.
Menurut kenyataan, MK3D 2025 mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.
“Ia menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu KUD oleh KKDW, Hari Peneroka Felda (Felda) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi).
“Karnival lima hari ini bakal menjadi medium bagi mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli,” kata kenyataan itu.
KKDW menjelaskan, lebih 1,000 usahawan bakal menyertai MK3D 2025 yang menjanjikan peningkatan pendapatan signifikan.
“Institusi pembiayaan akan dibawa menyertai MK3D 2025 untuk meningkatkan akses kepada peluang perniagaan bagi membantu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan.
“Di MK3D 2025 juga, terdapat syarikat yang bakal menawarkan padanan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan usahawan untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran,” jelas kenyataan sama.
MK3D 2025 menjanjikan lebih 100 aktiviti pengisian kepada para pengunjung selain Konsert Kemuncak yang bakal mempersembahkan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Adira Suhaimi, Khai Bahar, Akim & Majistret yang dibawakan secara percuma.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://megakarnival3dimensi.my/. – KOSMO! ONLINE