TIDAK semua pasangan selebriti mahu bekerjasama dalam sebuah karya. Itu yang berlaku kepada pelakon popular Indonesia, Titi Kamal yang mengakui suami, Christian Sugiono pernah menolak tawaran untuk menggandingkan mereka berdua dalam filem Tipu Kiri Tipu Kanan terbitan 2008.
Sebagai isteri, Titi, 44, menghormati permintaan suami yang mengizinkan diri berlakon dengan pelakon lelaki lain di dalam filem.
“Sejujurnya saya tidak pernah menolak kerana kami sama-sama pelakon. Cuma Christian yang menolak. Katanya, biar kami sebagai suami isteri di realiti sahaja dan untuk lakonan saya berganding dengan pelakon lain,” katanya.
Tambah Titi yang ditemui pada majlis tayangan filem Tabayyun baru-baru ini menjelaskan, Christian kini sibuk dengan urusan perniagaan resort milik mereka di Pulau Bali, Indonesia.
Dalam pada itu, Titi yang juga ibu kepada dua orang anak itu mengakui dia kini lebih terarah untuk berlakon filem berbanding sinetron kerana enggan terikat dengan jadual penggambaran yang begitu panjang.
“Sebagai seorang isteri dan ibu, saya sekarang lebih selesa meluangkan banyak masa bersama anak-anak dan keluarga. Jadi, saya tidak lagi ambil tawaran berlakon sinetron sebaliknya cukup dengan filem sahaja.
“Anak-anak saya, Arjuna Zayan Sugiono dan Kai Attar Sugiono juga dalam proses membesar serta sudah pasti mereka kini sangat memerlukan lebih perhatian daripada orang tuanya,” ujarnya yang berkahwin dengan Christian pada 6 Februari 2009 di Perth, Australia.

Menangis demi Tabayyun
Titi yang sudah 30 tahun menceburi karier lakonan mula menempa nama di Malaysia menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) lakonannya bersama Nicholas Saputra, Dian Sastrowardoyo, Adinia Wirasti dan Sissy Priscillia pada 2002.
Dalam AADC, Titi melakonkan karakter Maura yang kemudian mengukuhkan lagi namanya di Malaysia dengan lakonan mantap dalam filem Eiffel I’m in Love sebagai Intan.
Namun, sejak akhir-akhir ini Titi lebih sinonim dengan watak air mata seperti wataknya sebagai Aqilla Hamka dalam filem Air Mata di Ujung Sejadah dan terbaharu sebagai Zalina dalam Tabayyun.
Menerusi filem arahan Key Mangunsong tersebut, Titi memegang watak seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami.
“Filem Tabayyun memang membuat saya banyak menangis sampai ada satu ketika saya meminta kepada pengarah untuk tidak menangis.
“Tetapi apabila masuk sahaja ke set penggambaran saya automatik menangis (ketawa). Jadi, mata kelihatan bengkak kerana terlalu banyak menangis,” tutur Titi. Banyak menangis hingga mata bengkak
Selain pelakon, Titi juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk filem Tabayyun. Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang penerbit kata Titi, tugasannya jauh berbeza.
“Saya bersyukur dalam produksi ini meskipun saya memegang dua peranan iaitu pelakon dan penerbit eksekutif, saya mampu lakukan dengan baik.
“Memang selain berlakon sekarang saya fokus untuk ke bidang penerbitan filem menerusi syarikat produksi sendiri iaitu Kai Pictures yang diambil sempena nama anak lelaki saya,” tuturnya.
Selain Titi, filem yang diangkat daripada novel popular tersebut turut dibintangi Ibrahim Risyad, Naysila Mirdad, Farrell Rafisqy dan Jenny Rachman.
Naskhah yang ditayangkan di Indonesia pada 8 Mei lalu kini memasuki pawagam seluruh Malaysia bermula 10 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE