PARIS – Pelumba muda Perancis, Lenny Martinez mengakui masih belum boleh menarik nafas lega meskipun berjaya mengekalkan jersi polka dot selaku Raja Bukit selepas melepasi peringkat yang penuh mencabar dalam saingan Tour de France (TdF) 2025.
Pelumba Bahrain Victorious itu yang kini mendahului lapan mata di hadapan mengakui dia perlu bijak menggunakan segala tenaganya dan tidak melakukan henjutan sia-sia.
“Perlumbaan Peringkat 15 ini adalah hari untuk jimat tenaga dan saya berjaya melakukannya. Itu satu perkara yang bagus, terutama kerana peringkat hari ini sangat huru-hara.
“Ada kemalangan di awal peringkat perlumbaan, tapi saya tidak terjatuh. Saya hanya sempat brek dan masih kekal di atas basikal.
“Ketika itu ada pelumba di hadapan dan mereka sangat laju, jadi saya kekal bersama satu kumpulan hingga ke garisan penamat tanpa terlalu risau soal perebutan di depan,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.
Dengan hanya lapan mata memisahkannya daripada pencabar terdekat, Martinez menyedari tekanan sebenar belum bermula, apatah lagi calon juara keseluruhan, Tadej Pogacar dijangka terus meraih mata penting dalam peringkat-peringkat berikutnya.
“Impian terbesar saya sekarang membawa jersi polka dot ini ke Paris. Kelebihan lapan mata itu tidak besar. Pogacar pasti akan menang beberapa peringkat lagi, jadi saya perlu terus kumpul mata melalui cubaan di zon pendakian.
Berbaki beberapa peringkat berbukit dan gunung sebelum tiba di Paris, Martinez perlu membuat keputusan taktikal penting dalam menentukan sama ada untuk terus menyerang dari awal atau menyimpan tenaga demi pertarungan lebih besar.
Perebutan gelaran Raja Bukit dilihat masih terbuka apabila Pogacar yang mewakili UAE Team Emirates XRG di kedudukan kedua dengan mengumpul 52 mata, diikuti pelumba Ineos Grenadiers, Thymen Arensman di tempat ketiga menerusi 48 mata. – AGENSI