DUNGUN – Kawasan kejadian lemas yang mengorbankan seorang pekerja syarikat minyak dan gas di Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun di sini kelmarin, dikatakan telah ‘menelan’ 14 mangsa dalam tempoh sembilan tahun.
Kejadian terbaharu pada pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Muhammad Asri Anuar, 21, lemas ketika mandi di kawasan perkelahan terkenal tersebut bersama tiga sahabatnya.
Seorang penduduk, Zakaria Mahusin, 68, berkata, mereka seolah-olah sudah lali dengan kes lemas yang kerap dilaporkan di kawasan air terjun tersebut.
Katanya, seingatnya sudah 14 kes lemas telah direkodkan di kawasan perkelahan terbabit sejak tahun 2016.
“Lubuk Kain memang cantik dan airnya jernih tetapi bahagian atas air terjun ini tidak selamat dan papan tanda peringatan telah pun dipasang di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.
“Kawasan itulah mangsa (Muhammad Asri) dan rakan-rakannya mandi semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sewaktu kejadian, Muhammad Asri dikatakan tidak timbul selepas terjun ke dalam air terjun terbabit.
Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, dia dan seorang penduduk kampung lain bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan insiden lemas tersebut oleh rakan-rakan mangsa.
Katanya, mereka melakukan selaman beberapa kali sebelum menjumpai Muhammad Asri yang sudah dalam keadaan tidak bermaya di dasar kawasan air terjun berkenaan.
“Kami ikat badan mangsa sebelum membawanya naik ke tebing. Malangnya dia sudah tidak bernyawa ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian itu.
Pada 18 Julai 2016, Kosmo! melaporkan seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang menjadi mangsa ketiga lemas di lubuk itu.
Kebanyakan mangsa mandi di tingkat tiga air terjun itu yang amat berbahaya kerana bukan sahaja mempunyai kedalaman 10 meter, malah dasarnya sering berpusar.














