fbpx
EKITIKE bakal menjadi pembelian keempat Liverpool dalam jendela perpindahan ketika ini selepas Wirtz, Frimpong dan Kerkez. - AFP

Liverpool bayar £82 juta beli Ekitike

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike kini sah menyertai Liverpool selepas kelab itu mencapai persetujuan dengan Eintracht Frankfurt untuk perpindahan bernilai sekitar £82 juta (RM466.36 juta).

Perpindahan itu menjadikan Ekitike antara pembelian termahal The Reds dalam sejarah ketika pengurus, Arne Slot terus merombak skuad sedia ada bagi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dimenangi musim lalu.

Difahamkan, pemain berusia 23 tahun itu tidak menyertai pramusim Frankfurt ke Amerika Syarikat (AS), malah turut diketepikan dalam aksi persahabatan menentang FSV Frankfurt baru-baru ini sekali gus menguatkan spekulasi perpindahannya ke Anfield.

Newcastle United turut membuat bidaan awal berjumlah £70 juta (RM398.11 juta), namun hasrat mereka ditolak selepas pemain itu dilaporkan lebih cenderung untuk beraksi di bawah Slot di Liverpool.

Slot sebelum ini telah membelanjakan lebih £170 juta (RM966.84 juta) untuk membawa masuk pemain baharu seperti Florian Wirtz, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong dengan pembelian Ekitike menjadi tambahan penting kepada barisan serangan Liverpool.

Dalam masa sama, masa depan Darwin Nunez semakin samar selepas gagal menyerlah musim lalu apabila penyerang Uruguay itu dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab termasuk Atletico Madrid, AC Milan dan kelab Liga Pro Saudi.

Namun, perpindahan ke Napoli tidak lagi menjadi pilihan selepas jurulatih, Antonio Conte, memilih untuk menandatangani Lorenzo Lucca dari Udinese.

Sekiranya Nunez meninggalkan kelab, Ekitike dijangka mengisi kekosongan tersebut dan menjadi sandaran utama Slot untuk terus mengekalkan dominasi Liverpool di pentas domestik dan Eropah.

Musim lalu, Ekitike menjaringkan beberapa gol penting Frankfurt selepas berhijrah daripada Paris Saint-Germain dan perpindahannya ke England dilihat sebagai satu lonjakan besar dalam kariernya.

Untuk rekod, Ekitike menjadi pemain kedua Frankfurt  berhijrah ke EPL tahun ini selepas Omar Marmoush menyertai Manchester City pada Januari lalu dengan nilai £59 juta (RM335.55 juta).

Dengan kemasukan Ekitike, tumpuan kini terarah kepada kemungkinan Luis Diaz menyertai Bayern Munich selepas ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN