PETALING JAYA – Cadangan untuk memperkenalkan pelajar sekolah menengah daripada golongan B40 kepada dunia seni tempatan melalui sebuah program khas telah dikemukakan dalam satu pertemuan bersama Raja Permaisuri Agong dan penggiat seni tanah air.
Perkara itu mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang berkenan menerima menghadap beberapa penggiat industri seni dan budaya tanah air di Istana Negara, hari ini.
Raja Permaisuri Agong bertitah, pendedahan sebegini penting untuk membuka peluang kepada pelajar B40 yang mungkin tidak menonjol dalam bidang akademik, tetapi mempunyai potensi dalam bidang seni.
“Saya sedar akan cabaran kehidupan yang dihadapi oleh golongan B40. Tidak semua anak-anak ini cenderung kepada pencapaian akademik semata-mata.
“Maka, ada baiknya kita mendedahkan kepada mereka jalan ke arah masa depan melalui bidang kesenian,” titah baginda.
Menurut baginda lagi, program itu juga dilihat mampu mengurangkan risiko pelajar terjebak dalam gejala sosial serta memberi ruang untuk pembangunan kendiri dan emosi menerusi kegiatan seni.
“Usaha ini dapat menggalakkan mereka membina kemahiran dengan bimbingan selebriti atau penggiat seni berjaya sebagai mentor.
“Dalam masa sama, ia membantu mengurangkan masalah kemurungan dan kesunyian serta memupuk nilai perpaduan,” tambah baginda.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Tengku Sri Kelana D’raja, Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah, pengarah terkemuka, Datuk Zahim Albakri, Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Datuk Syafinaz Selamat, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, dan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi. – KOSMO! ONLINE