LAHAD DATU – Polis menahan seorang wanita tempatan selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematian di Kampung Burung, Jalan Bakawali di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 30 tahun itu diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini semalam.
“Suspek mengaku melahirkan bayi itu di rumahnya dan meletakkannya di luar rumah. Permohonan reman ke atas wanita itu akan dibuat dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. Sabit kesalahan wanita itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bayi lelaki yang cukup sifat itu dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan kain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor oleh orang awam pukul 3.06 pagi.
Bayi itu dikatakan masih hidup ketika ditemui dan dihantar ke Hospital Lahad Datu namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.02 malam hari sama kerana dilahirkan pramatang. – KOSMO! ONLINE