PETALING JAYA – Belum reda isu merangkul lengan pelakon Hariz Hamdan, nama Nelydia Senrose terus menjadi bualan hangat ramai apabila tular pula video pendek yang memaparkan dirinya memegang tangan dan dipeluk aktor Yusuf Bahrin.
Babak kontroversi tersebut pantas mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen memandangkan kedua-duanya berstatus suami dan isteri orang.
Rata-ratanya peminat menyifatkan tindakan mereka keterlaluan, tidak menjaga maruah rumah tangga dan boleh mengundang fitnah.
“Nelydia selepas buka tudung makin menjadi-jadi, habis jantan kau peluk, malulah sikit dengan status isteri orang,” komen netizen.
“Jangan normalisasikan aksi peluk-peluk suami orang depan kamera. Memalukan, kita ni Malaysia bukan Mexico,” tulis pengguna media sosial.
“Kalau dah tahu status, tak perlulah sampai berlebih-lebihan. Lakonan pun ada batas. Kot ye pun nak nampak real, bukan ini caranya,” ujar seorang lagi netizen.
Dalam masa sama, netizen turut mempersoalkan perubahan sikap Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, yang sebelum ini dikenali sebagai pelakon ‘berprinsip’ serta menjaga batas bersama wanita.
“Dulu bukan main bercakap tentang batas, sekarang lain pula yang ditunjukkan,” tulis seorang pengguna Tiktok.
“Kami sebagai peminat Yusuf rasa kecewa. Lakonan pun ada had. Tak perlu sampai sentuhan fizikal begini. Dulu rasanya memang dia jaga batas. Terdesak sangat ke hidup?,” soal netizen.
“Zaman sekarang, pelakon pun hilang sensitivitinya. Apa sahaja untuk rating,” kata pengguna lain.
Insiden tersebut secara tidak langsung kembali membuka perbualan tentang rumah tangga Yusuf bersama isteri, penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, yang dikatakan sedang bergolak.
Spekulasi makin rancak diperkatakan apabila Zizi dilihat tidak lagi berkongsi foto suaminya sejak sambutan hari lahir Yusuf pada 8 Jun lalu, selain sering memuat naik hantaran bernada kecewa dan penuh makna tersirat di aplikasi Threads.
Namun Zizi tampil menafikan khabar angin berkenaan dan memohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi berlebihan. – KOSMO! ONLINE