PETALING JAYA – Sering menerima tawaran berlakon di luar negara, pelakon Bront Palarae bersyukur tidak pernah ditawarkan watak keterlaluan atau membabitkan babak panas.
Bront atau nama asalnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, belum perlu berdepan situasi sebegitu kerana menyifatkan dirinya bukan dalam kategori aktor yang sering dieksploitasi secara fizikal.
“Saya rasa bernasib baik kerana mereka tak pernah nampak saya seorang lelaki seksi.
“Lainlah kalau saya ini hero Malaya yang berbadan sasa, bila buka baju nampak seksi, mungkin ada tawaran sebegitu.
“Tapi saya bukan dalam kategori itu. Kalau berada dalam posisi tersebut, mungkin lebih sukar,” katanya kepada Kosmo! Online majlis tayangan perdana My Stupid Boss: The Animated Series, baru-baru ini.
Bront menegaskan keputusan tidak membawakan karakter berunsur seksual adalah demi menjaga nama baik keluarga selain memikirkan impak terhadap anak-anaknya.
“Kalau zaman bujang dulu, batasannya lain. Ibu bapa pun senang nak dipujuk tapi sekarang bila sudah beristeri, banyak perkara perlu difikirkan termasuk pandangan keluarga mentua.
“Kena fikir juga tentang anak. Bukan bermaksud saya terlalu berhati-hati, cuma saya lebih memikirkan kesan dan akibat yang perlu saya tanggung nanti,” jelasnya.
Ditanya sama ada pengarah memahami pendiriannya, pelakon filem Mallbat: Misi Bakara itu enggan memberi komen namun bersyukur diberi kepercayaan membawakan watak bersesuaian dengan dirinya.
“Tak berani nak cakap sebelum terjadi, macam mencabar takdir pula.
“Tapi saya bersyukur masih berada dalam zon nyaman (selesa),” tuturnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Bront terlibat dalam pembikinan siri My Stupid Boss: The Animated Series yang diadaptasikan daripada filem My Stupid Boss terbitan tahun 2016.
Selain Bront, siri 13 episod yang mula ditayangkan secara eksklusif di Malaysia menerusi platform penstriman Vidio itu turut dibintangi Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari, Chew Kin Wah, Datin Atikah Suhaime dan Iskandar Zulkarnain. – KOSMO! ONLINE