fbpx
WANITA menunggang skuter melepasi kebakaran hutan di Karya Indah, wilayah Riau kelmarin. - AFP

Kebakaran hutan marak di Riau 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Riau, Pulau Sumatera memusnahkan beratus -ratus hektar  kawasan ketika pasukan penyelamat sukar memadamkan  api disebabkan cuaca panas terik serta tiupan angin kencang, lapor portal berita Riao Online kelmarin. 

Antara kawasan terjejas termasuk Pekanbaru, Bengkalis, Rokan Hulu, Rokan Hilir dan Pelalawan. 

Kebakaran besar hutan dan tanah gambut dianggarkan melibatkan kawasan sekitar 500 hektar di Rohul, manakala api merebak ke 2.5 hektar tanah  di Pekanbaru. 

Lokasi paling membimbangkan adalah daerah Tapung, Kampar di mana kebakaran terlalu dekat dengan kawasan perumahan sehingga mengancam dan mencetuskan ketakutan kepada penduduk. 

Ketua masyarakat tempatan dikenali sebagai Hariyadi berkata, orang ramai berdepan detik cemas ketika api semakin menghampiri kediaman mereka. 

“Kami tidak mempunyai peralatan memadamkan api dan hanya menggunakan ranting serta daun basah untuk mengawal kebakaran. 

“Kami terpaksa memadamkan kebakaran ini  sebelum api merebak ke rumah penduduk,” katanya. 

Usaha memadamkan kebakaran berlangsung lebih 30 minit sebelum penduduk setempat dibantu unit kawalan kebakaran hutan dan tanah khas Indonesia, briged Manggala Agni. 

Timbalan Komander Manggala Agni Pekanbaru, Doni Wahyudi berkata, pasukannya ditempatkan di beberapa kawasan yang terdedah kepada kebakaran hutan. 

“Kami memberi tumpuan kepada lokasi utama termasuk kawasan perumahan. Cuaca kering dan angin kuat menyebabkan api cepat merebak,” tambahnya.

Sementara itu, jerebu berikutan kebakaran hutan dan tanah di wilayah Sumatera Utara serta Sumatera Barat sampai ke ruang udara Malaysia, demikian menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik  Indonesia (BMKG). 

Jurucakap Stesen BMKG Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru, Bibin S berkata, jerebu dikesan bergerak ke arah timur laut melintasi sempadan dan melanda Teluk Kemang, Malaysia. 

“Berdasarkan peta penyebaran jerebu, asap bergerak ke arah Malaysia walaupun kita tidak dapat menyatakan secara terperinci kawasan mana yang terjejas,” kata Bibin seperti laporan laman berita Jakarta Globe.

Kebakaran hutan dan tanah berasingan di wilayah Sumatera Utara dan Sumatera Barat pula memusnahkan kawasan seluas 46 hektar secara keseluruhan ketika Indonesia memasuki musim kemarau, lapor laman berita Riau Online kelmarin. 

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, sejumlah titik panas dikesan Khamis lalu di Simalungun, wilayah Sumatera Utara khususnya di daerah Girsang Sipangan Balon dan Pematang Sidamanik. 

“Badan Pengurusan Bencana Simalungun segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa bagi mengawal kebakaran,” kata Abdul Muhairi.

Setakat Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 25 hektar tanah terbakar sebelum kebakaran berjaya dikawal oleh Manggala Agni, pasukan bomba serta sukarelawan komuniti. 

Di Sumatera Barat, kebakaran berasingan berlaku petang Jumaat lepas di Nagari Padang Ganting dan Nagang Pagaruyung dalam Tanah Datar, namun berjaya dipadamkan pada hari sama. 

Dengan sebahagian besar wilayah Indonesia memasuki musim kemarau, BNPB menggesa pihak berkuasa serantau untuk memperkukuh langkah-langkah pengawasan termasuk rondaan bersama dan pemadaman awal titik panas terutamanya di kawasan berisiko tinggi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI