fbpx
AKTIVITI di luar kampus mampu bentuk jati diri mahasiswa. – Gambar hiasan

IPT medan bentuk citra, jati diri siswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN seseorang di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik atau memperoleh segulung ijazah, sebaliknya merupakan satu proses pembentukan jati diri yang menyeluruh.

Ia bertujuan melahirkan graduan yang seimbang, berkeperibadian unggul dan mampu berperanan secara efektif dalam masyarakat. Universiti harus memainkan peranan sebagai fasilitator utama dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang holistik, dinamik dan berterusan.

Pendekatan itu merangkumi penyediaan program pembangunan pelajar yang terancang, inklusif dan bersifat rentas disiplin. Aspek ini tidak tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, malah pembangunan sahsiah, kepimpinan dan etika profesional.

Sepanjang tempoh pengajian, pelbagai pengalaman di dalam dan luar bilik kuliah akan membentuk citra serta jati diri mahasiswa, sekali gus menjadi asas kepada kredibiliti mereka selepas menamatkan pengajian.
Universiti berperanan memperkasa pembangunan intelektual dan sahsiah mahasiswa. Dalam konteks ini, universiti perlu menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif dan kondusif bagi membolehkan mahasiswa dapat berkembang seimbang dalam pelbagai dimensi kehidupan.

Pembentukan jati diri mahasiswa tidak terhad kepada pembelajaran formal, malah diperkukuhkan melalui pengalaman di luar bilik kuliah yang memupuk nilai kepimpinan, etika profesional dan kemahiran insaniah.

Pendekatan universiti sebagai fasilitator menzahirkan komitmen berterusan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berdaya saing dan berwibawa dalam masyarakat.

Penyediaan ruang dialog intelektual serta pemantapan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan mahasiswa turut memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi yang membentuk watak, karakter dan jati diri mahasiswa yang relevan dengan tuntutan semasa.

Pendekatan ini adalah sejajar dengan pandangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menekankan bahawa graduan yang memiliki keupayaan pelbagai tugas, kebolehan memikul tanggungjawab serta kemahiran insaniah mantap lebih mendapat keutamaan dalam pasaran kerja.

Jelaslah bahawa pembangunan kemahiran insaniah menjadi keutamaan, mengatasi pencapaian akademik semata-mata.

Ini membuktikan bahawa pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah memberikan impak signifikan dalam melahirkan graduan holistik dan kompetitif yang menepati kehendak pasaran kerja dinamik.

Salah satu aspek yang memberi impak signifikan terhadap pembangunan mahasiswa juga adalah penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti seperti kelab, persatuan, badan beruniform dan sukan bukan saja dapat mengisi masa lapang, malah lebih daripada itu. Ia adalah medan untuk melatih mahasiswa dalam aspek kepimpinan, kerjasama berpasukan dan ketahanan mental.

Melalui pengalaman ini, mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan konflik dan pengurusan organisasi yang diperlukan dalam dunia profesional.

Mahasiswa yang memegang jawatan kepimpinan di dalam organisasi pelajar biasanya akan menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai pihak.

Aktiviti-aktiviti ini turut memperkukuh kredibiliti mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Menurut laporan MEF pada 2023, sebanyak 89 peratus majikan mengutamakan graduan yang aktif dalam kokurikulum, manakala laporan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)pada 2022 mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan aktif mencapai 95 peratus, berbanding 84 peratus bagi yang kurang terlibat.

Laporan QS Graduate Employability pada 2022 turut mengesahkan bahawa pengalaman kepimpinan pelajar memperkukuh daya tahan, komunikasi dan kecekapan organisasi graduan.

KPT telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan mahasiswa. Program seperti Program Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) menekankan elemen kenegaraan, idealisme, dan kemahiran kepimpinan.

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan meningkatkan kompetensi pelajar dalam membuat keputusan rasional, berpandukan fakta serta memupuk rasa tanggungjawab sosial yang tinggi sebagai warganegara prihatin dan berwawasan.

Pendekatan ini adalah sejajar dengan keperluan majikan yang lebih mengutamakan graduan berkemahiran insaniah berbanding pencapaian akademik semata-mata.

Hal ini juga menunjukkan bahawa pemerkasaan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa adalah langkah penting dalam memastikan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

Program mobiliti antarabangsa seperti ASEAN International Mobility for Students (AIMS) dan Erasmus+ memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar di luar negara.

Pengalaman ini bukan sahaja memperkasa kemahiran komunikasi antarabangsa, malah memperdalam kefahaman silang budaya.

Mahasiswa yang terlibat dalam program sebegini menunjukkan peningkatan dalam kemahiran beradaptasi, kepimpinan antarabangsa dan nilai integrasi budaya yang menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi persaingan global.

Pendedahan terhadap pengalaman global ini juga membantu mahasiswa untuk melihat dunia dengan perspektif lebih luas, mengembangkan pemikiran kritis dan analitikal serta meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi dunia pekerjaan.

Selain itu, latihan industri berfungsi sebagai jambatan penting antara dunia akademik dan dunia pekerjaan.

Laporan TalentCorp-CIMA pada 2023 menunjukkan bahawa latihan industri yang relevan dan berkualiti meningkatkan kebolehpasaran graduan secara signifikan.

Walaupun lebih 70 peratus pendidik percaya bahawa graduan mereka bersedia memasuki pasaran kerja, namun hanya 42 peratus majikan berkongsi pandangan tersebut. Ini menandakan keperluan mendesak untuk memperkukuh komponen praktikal dalam pendidikan tinggi.

Program seperti CEO@Faculty yang melibatkan kerjasama antara pelajar dan pemimpin industri telah memperlihatkan kejayaan dengan mencatatkan peningkatan kebolehpasaran graduan sebanyak 40 peratus.

Ini menunjukkan bahawa pendedahan yang lebih mendalam dalam dunia industri adalah kunci untuk memastikan mahasiswa benar-benar bersedia menghadapi dunia pekerjaan semakin mencabar.

Penulis merupakan Pengurus di Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI