NEW DELHI – Seekor gajah betina menterbalikkan dua lori kerana terganggu dengan muzik kuat dan lampu terang yang dipasang di sebuah kawasan perkhemahan di India, lapor portal berita Hindustan Times.
Kejadian dirakam berhampiran Kuil Manimai, lebuhraya Doiwala-Dehradun, negeri Uttarakhand kelmarin.
Ribuan orang berkhemah berhampiran kuil tersebut sempena sambutan festival keagamaan dikenali sebagai Kanwar Yatra.
“Haiwan itu dipercayai berjalan ke lebuh raya bersama anaknya untuk mencari makanan. Ia mula mengamuk susulan pemasangan muzik yang kuat serta lampu terang.
“Kami menggesa orang ramai untuk tidak berkhemah berhampiran kawasan hutan atau membuat provokasi terhadap haiwan liar dengan memainkan muzik kuat dan menggunakan lampu terang,” kata seorang pegawai perhutanan.
Pasukan polis dan agensi lain segera menutup sebahagian kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian serupa berulang. – AGENSI