STOCKHOLM – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak mahu cepat melatah dan percaya penyerang baharunya, Matheus Cunha memerlukan sedikit masa untuk menghadirkan impak buat pasukan.
Bekas bintang Wolverhampton itu gagal menghadirkan impak lebih baik pada debut pertamanya dengan The Red Devils apabila tidak mampu merekodkan sebarang percubaan dan mencipta peluang ketika terikat tanpa jaringan menentang Leeds United kelmarin.
Bagaimanapun, Amorim yakin Cunha perlu diberikan lebih banyak masa untuk membina persefahaman dengan rakan sepasukan lain sekali gus mampu mewujudkan kombinasi lebih baik.
“Saya fikir Matheus Cunha sudah pun tunjukkan apa yang kita perlu di mana dia adalah pemain yang menerima bola di antara garisan pertahanan lawan. Apa yang saya boleh katakan dia cukup agresif ketika melakukan serangan.
“Kita sudah melihatnya musim lalu, jadi kami juga mengharapkan perkara sama daripadanya. Kita boleh lihat kombinasinya bersama Bruno Fernandes belum berada pada tahap terbaik, namun ia pasti jadi lebih baik lagi selepas ini,” katanya.
Amorim juga gembira dengan suasana dalam pasukan ketika ini, namun bertegas kelab itu masih memerlukan tambahan kualiti untuk tampil lebih baik pada saingan akan datang.
“Ada ketika kami juga bergelut tetapi itu adalah permulaan kepada segala-galanya. Bukan hanya berusaha untuk jadi lebih baik tetapi kami perlu serlahkan kualiti yang kami ada,” katanya. AGENSI