PERSATUAN Bola Sepak Jepun (JFA) menyeru Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) termasuk Malaysia untuk membida hak tuan rumah bersama bagi menganjurkan kejohanan Piala Dunia edisi 2046 akan datang.
Berdasarkan spekulasi media di negara Matahari Terbit itu, JFA yang menjadi sebahagian anggota Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF) telah mengadakan perbincangan dengan wakil AFF pada mesyuarat Mac lepas di Tokyo.
Menerusi perbicangan tersebut, kedua-dua pihak dilaporkan secara tidak rasmi membincangkan tentang potensi untuk menjadi penganjur bersama saingan Piala Dunia 2046 nanti.
Presiden JFA, Tsuneyasu Miyamoto baru-baru ini mengesahkan tentang perbincangan dengan pihak AFF, tetapi wilayah EAFF sedia untuk menjalinkan kerjasama untuk membawa kembali kejohanan Piala Dunia di bumi Asia.
“Kita belum menukar dokumen secara rasmi (dengan pihak AFF), tetapi sudah ada perbincangan mengenai bagaimana kita akan menjalinkan kerjasama (untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2046),” kata Miyamoto dipetik portal chosun.com.
Ini bukanlah kali pertama Malaysia dikaitkan untuk membida hak penganjuran Piala Dunia kerana pada 2023, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sudah menjemput Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Australia untuk menjadi tuan rumah edisi 2034.
Bagaimanapun, presiden FAM ketika itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menepis spekulasi tersebut dengan menyatakan Malaysia belum bersedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE