PADANG BESAR – Cubaan menyeludup 23 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM690,000 menerusi tembok sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini berjaya dipatahkan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, rampasan satu guni mengandungi dedaun kering bunga ganja itu dilakukan kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, terdahulu sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis mengesan pergerakan di KTJ Pos BKC 7 berdasarkan maklumat televisyen litar tertutup (CCTV).
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekeliling menjumpai satu guni berwarna-warni yang mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis bunga ganja.
“Guni tersebut dipercayai cuba diseludup dari Thailand ke Malaysia melalui tembok keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, guni tersebut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 18 PGA masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Padang Besar. – KOSMO! ONLINE