PETALING JAYA – Kenderaan kesayangan dilanggar, penyanyi Ara Johari meluahkan kekesalan dengan sikap lepas tangan seorang pemandu yang langsung tidak tampil memohon maaf atas kecuaian dilakukan.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, pelik melihat situasi membabitkan sesetengah individu yang mementingkan diri walaupun mengetahui perbuatan mereka salah.
“Abang bawa kereta Axia kuning, dah cium kereta saya sikit itu tak nak minta maaf ke?” katanya menerusi hantaran dalam Instastory.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika penyanyi Menjaga Jodoh Orang itu dalam perjalanan ke sebuah lokasi untuk persembahan pada malam kelmarin.
Selain mendedahkan beberapa digit nombor plat kenderaan yang melanggar keretanya, Ara turut menyelar pelaku yang tidak menghiraukan keadaannya selaku mangsa.
“Abang nampak kan saya dekat dalam (kereta) itu? Penat saya jaga kereta tau. Merajuk!,” ujarnya.
Biarpun tidak memperincikan kerosakan keretanya, alumni Akademi Fantasia 2016 itu tetap meneruskan rancangan asal iaitu mengadakan persembahan.
Perkara itu dikongsikan dalam laman sama yang menunjukkannya selesai membawakan beberapa lagu pada majlis tersebut.
Terdahulu, sekitar 2017 Ara pernah mengalami kemalangan serius yang mengakibatkan keretanya rosak teruk selain mengalami gegaran di kepala dan lebam pada tubuhnya. – KOSMO! ONLINE